BELAGA, 18 Julai: Regata Belaga 2023 kembali lagi setelah lima tahun menyepi dengan menjanjikan hadiah berjumlah RM163,000 untuk dimenangi.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Komunikasi) Datuk Liwan Lagang berkata, acara lumba perahu kayuh itu akan bermula pada 30 Julai hingga 6 Ogos 2023.
“Belaga Regatta merupakan acara yang dinanti-nanti oleh seluruh warga Belaga, kali terakhir ia diadakan adalah pada 2018.
“Edisi kali ini merupakan yang ke-7 penganjuran Regata Belaga dan pelbagai aktiviti telah disusun oleh jawatankuasa penganjur bermula pada 30 Julai, namun acara acara utama akan berlangsung pada 3 sehingga 6 Ogos,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Persiapan Belaga Regatta 2023 di sini baru-baru ini.
Menurutnya, setiap acara yang dianjurkan dan dipertandingkan mempamerkan keunikkan budaya Orang Ulu di daerah Belaga.
“Orang ramai dari dalam dan luar negeri ini dijemput hadir untuk memeriahkan acara dwi-tahunan ini yang kaya dengan budaya dan keindahan alam semulajadi,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga berkata acara tumpuan Regata Belaga termasuk lumba kayuh perahu yang menawarkan hadiah Lakin Hungey (Raja Sungai) paling tinggi iaitu sebanyak RM 20,000 dan bagi acara lumba perahu kayuh tanpa had menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.
Aktiviti menarik yang lain ialah Pentas Budaya, Pentas Hiburan, Fun Run dan Senamrobik, Sukan Rakyat, gerai-gerai jualan, pameran oleh agensi kerajaan, swasta Badan Budan Kerajaan (NGO), Pertandingan Pondok Tradisional, persembahan artis jemputan, e-sukan Mobile Legend dan sebagainya. -TVS