MIRI, 18 Julai: Penubuhan Markas Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) akan diperluaskan secara berfasa, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau UKPS akan berkembang dengan pembinaan markas masing-masingnya di Sejingkat, Tanjung Manis, Bintulu dan Lawas.
“Ia sedang diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Sarawak berusaha dapatkan tiga kapal peronda laju lebih besar – Abang Johari
“Markas-markas ini bertujuan untuk memastikan keanggotaan dan aset-aset berada di kawasan yang strategik untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kapal Peronda Laju Kelas Pulau Sarawak Coastguard dan Markas Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Miri, di sini, pada Selasa.
Sementara itu, pada sidang media Abang Johari menekankan peranan Sarawak Coastguard dalam menjaga kawasan marin negeri terutamanya kawasan taman negara.
Menurutnya terdapat lapan Taman Negara Marin di negeri ini yang telah diwartakan dengan keluasan lebih 1.2 juta hektar.
“Kesemua taman negara itu merangkumi Luconia Shoals National Park, Tanjung Datu National Park, Talang Satang National Park, Santubong National Park, Bruit National Park, Similajau National Park, Miri-Sibuti Coral Reefs National Park dan Limbang Mangrove National Park,” jelasnya.
Dalam pada itu beliau memberitahu usaha kerajaan menambah aset-aset bertujuan untuk membantu agensi-agensi keselamatan lain dalam mengawal keselamatan negeri.
“Di markas (Markas UKPS Miri) ini tadi, terdapat sebuah bilik kawalan yang menggunakan teknologi terkini yang mana kita boleh mengesan lokasi kesemua kapal-kapal, mendapatkan maklumat terperinci mengenai kapal-kapal menerusi pengesan digital.
“Ini antara cara-cara baru selain kita sudah tentu bertukar-tukar maklumat dengan dengan agensi lain yang mempunyai kuasa iaitu agensi di bawah kerajaan pusat,” ujarnya. – TVS