Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Fathi Hambali (kiri), Dato Gerald Rentap Jabu (tengah) dan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi (Kiri) pada Majlis Sambutan Ketibaan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka Bahagian Samarahan, di sini, hari ini. Foto: Hafeezzur Muzamir (TVS)

Konvoi Kembara 60 Tahun Sarawak Merdeka hampir ke penghujung

ByHafeezzur Muzamir

KOTA SAMARAHAN, 18 Julai: Konvoi Kembara 60 Tahun Sarawak Merdeka yang mula menjelajah dari Lawas pada 28 Mei lalu kini menghampiri ke penghujungnya setelah tiba di Kuching hari ini.

Sebelum ini konvoi telah melewati Bahagian Kota Samarahan selama dua hari iaitu pada 16 hingga 17 Julai lalu.

Residen Bahagian Kuching, Fathi Hambali berkata, penjelajahan konvoi itu menyaksikan satu perjalanan yang panjang dengan merentasi seluruh bahagian di negeri ini dalam usaha menyemarakkan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka pada tahun ini.

“Mulai hari ini (18 Julai) kita di Bahagian Kuching akan meneruskan perjalanan konvoi kembara untuk menjelajah sehingga ke Telok Melano, Bau, Lundu dan juga di Kuching.

“Pada Khamis ini Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian akan menyempurnakan majlis pelepasan konvoi di Majma Mall menuju ke tiga lokasi itu,” katanya pada Majlis Sambutan Ketibaan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka Bahagian Samarahan, di sini, hari ini.

Menurutnya konvoi yang disertai kelab motosikal berkuasa tinggi, kelab kereta tempatan serta agensi kerajaan negeri dan persekutuan itu tiba di pekarangan pusat beli-belah La Promenade, Kota Samarahan pada jam 12 tengah hari disambut oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu.

Seterusnya, kedua-dua pemimpin itu menyempurnakan pelepasan konvoi tersebut ke Bahagian Kuching bagi meneruskan perjalanan ke Wisma Bapa Malaysia, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan Bangunan Baitulmakmur (MASJA).

Mengulas lanjut, Fathi berkata Kuching menjadi bahagian terakhir bagi siri konvoi tersebut iaitu pada 22 Julai nanti upacara menyerahkan bendera kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan berlangsung di Padang Merdeka.

Justeru itu, Fathi berharap konvoi tersebut akan memberi impak dalam menyemarak semangat rakyat Sarawak untuk meraikan Sambutan Hari Sarawak pada Sabtu ini.

“Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka pada tahun ini diadakan dengan penuh gilang-gemilang dengan menyasarkan penglibatan dari semua peringkat umur tanpa mengira latar belakang sosial, bangsa dan agama.

“Jadi, besarlah harapan kita agar program yang kita anjurkan melalui aktiviti Konvoi Kembara Sarawak Merdeka ini dapat menjadi pemangkin kepada perpaduan kaum, keharmonian masyarakat, seta pembangunan negeri yang mampan demi Sarawak yang kita cintai,” tegasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan