KUCHING, 18 Julai: Kuching City FC (KCFC) mengumumkan peletakan jawatan ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim dan penolongnya, Sulaiman Hussin, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iswandi Ali Hassan berkata, kedua – dua pihak telah mencapai persetujuan berhubung perkara itu.
Kata beliau, kelab menghormati keputusan berkenaan dan ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada kedua-duanya atas jasa kepada KCFC.
“Kecemerlangan mereka sejak mengambil alih tugas di KCFC untuk bersaing dalam Liga Premier akan tetap tertulis dalam sejarah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Irfan Bakti mula membimbing KCFC pada 21 Januari 2021.
Beliau juga pernah menjadi jurulatih Negeri Sembilan, Selangor, Telekom Melaka, FELDA United dan Penang FC.
Sulaiman pula pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengurus UKM FC pada 2019.
Sementara itu, Iswandi berkata, kelab berkenaan akan ‘meneliti’ peranan yang boleh disumbangkan oleh Sulaiman kepada kelab mereka kelak.
KCFC yang membuat penampilan sulung pada Liga Super ketika ini bergelut dalam kedudukan carta apabila menduduki tangga ke-13 daripada 14 pasukan bertanding.
Skuad The Cat setakat ini hanya mencatatkan satu kemenangan dan tiga seri. -TVS