Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sarawak United FC turut memuatkan ucapan takziah di atas kematian B. Sathianathan yang juga bekas ketua jurulatih pasukan itu. Foto Sarawak United FC.

Bekas penjaga gol Sarawak United sifatkan Malaysia hilang permata bola sepak

ByAmirah Shawel

KUCHING, 18 Julai: Bekas penjaga gol Sarawak United, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli menyifatkan kematian bekas ketua jurulatih pasukan itu, B. Sathianathan sebagai kehilangan besar kepada arena bola sepak Malaysia.

Akui Mohd. Sharbinee Allawee, dia terkejut ketika menerima perkhabaran duka itu hari ini.

Sathianathan meninggal dunia akibat kanser

Kata pemain berasal dari Terengganu itu, dia menghabiskan banyak masa dalam karier bola sepaknya bersama Mendiang Sathianathan.

“Saya telah bersama dengan coach Sathia sejak berumur 20 tahun lagi.

“Tahun lepas kami dalam satu pasukan kerana mendiang menjadi Ketua Jurulatih Sarawak United.

“Bagi saya, arena bola sepak Malaysia hilang seorang jurulatih berkaliber kerana mendiang juga merupakan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Bekas penjaga gol pasukan Sarawak United, Sharbinee Allawee berada di bawah kendalian B.Sathianathan pada tahun lepas. Foto: Facebook Sarawak United FC

Arena bola sepak negara hari ini dikejutkan dengan pemergian Sathianathan yang juga bekas pengendali skuad Harimau Malaya B. Sathianathan yang meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), hari ini.

Tahun lalu, Sathianathan terpaksa mengundur diri sebagai Ketua Jurulatih Sarawak United berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.

Sebagai jurulatih bola sepak, Sathianathan telah meraih pelbagai kejayaan termasuk dipilih sebagai jurulatih terbaik sebanyak tiga kali dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan iaitu pada 2010, 2012 dan 2017.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Azmi Muslim turut bersedih di atas berita kematian jurulatih itu.

Kata Azmi, Sathianathan merupakan jurulatih yang memberi peluang kepadanya untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Saya kemudian sekali lagi bergandingan dengan mendiang pada 2012 apabila menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Azmi Muslim (paling kiri, belakang) pernah bersama Sathianathan ketika menyertai ATM pada 2012. Foto kredit ATM.

“Terima kasih coach atas tunjuk ajar selama ini dan banyak membantu karier bola sepak saya,” katanya.

Rakan Sathianathan, Mohd. Azraai Khor Abdullah turut berkongsi penghargaan kepada jurulatih prolifik itu.

Kata bekas Ketua Jurulatih Kedah FA itu, beliau kehilangan seorang sahabat telah banyak menyumbang kepada arena bola sepak.

Mohd. Azraai Khor Abdullah. Foto Facebook Mohd. Azraai Khor.

“Seorang yang lantang dan berprinsip, takziah kepada ahli keluarganya,” tulis Mohd. Azraai Khor menerusi Facebooknya.

Antara kejayaan lain Sathianathan termasuk menjuarai Pesta Bola Merdeka pada 2007.
 
Mendiang juga pernah membawa Kelantan menjulang Piala Malaysia pada 2010 selain membimbing ATM dan Felda United menjuarai Liga Perdana pada 2012 dan 2018. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan