KOTA SAMARAHAN, 17 Julai: Stesen minyak terletak terlalu jauh yang kadang-kala menyebabkan penduduk di sekitar Kampung Tebelu, Sebuyau, terpaksa menolak motosikal kerana kehabisan petrol.
Masalah itu mendorong seorang peniaga di kampung itu, Arbi Baie, 72, mengambil inisiatif membantu memudahkan urusan penduduk di kawasannya dengan menjual bahan api berkenaan di tepi jalan.
Ketika ditemui penulis, melihat pada usianya yang semakin senja, beliau tetap gigih mengerah kudrat bagi membantu mempermudahkan masyarakat setempat untuk mendapatkan bahan api, dan pada masa sama menggunakan keuntungan kecil yang diraihnya bagi menampung perbelanjaan harian.
“Saya buka kedai ini sejak 2015 lagi dan dulu memang laku sehingga mencecah RM800- RM1,000.
“Tapi kini tidak lagi sebab penduduk kampung terutamanya generasi muda di sini banyak yang berhijrah ke bandar, jadi adalah untung sedikit, cukup untuk tampung perbelanjaan saya dan isteri,” katanya.
Menurut Arbi, setiap hari dia akan ke pekan Kota Samarahan untuk membeli petrol dari stesen minyak, dan kemudiannya menjualnya di dalam botol dengan harga RM3 seliter.
“Dengan berkat keuntungan berniaga petrol dalam botol ini alhamdulillah saya dapat pergi menunaikan umrah dengan isteri saya.
“Bagi saya, untung sedikit tidak mengapa, yang penting berkat dan niat kita untuk bantu masyarakat dekat sini,” katanya.
Sementara itu, seorang pembeli yang ditemui, Roy Ila, 31, meluahkan rasa syukur dan lega kerana masih wujud lagi penjualan petrol dalam botol di tepi jalan untuk kegunaan harian mereka lebih-lebih lagi untuk pergi bekerja dan menghantar anak ke sekolah.
“Syukur sebab masih ada kedai macam ini dalam kawasan kampung sebab stesen minyak jauh dari sini,” katanya.
Roy mengakui walaupun harga jualan petrol dalam botol sedikit tinggi, namun dia bersyukur ia terletak berdekatan dengan rumahnya dan bekalan bahan api itu tidak pernah putus.
“Saya merasakan walaupun harganya agak mahal tapi dia sebenarnya memudahkan penduduk yang tinggal di sini untuk dapatkan bekalan petrol, sebab stesen minyak terlalu jauh dari sini.
“Selain itu, waktu operasi kedai ini dari pagi sehingga malam, kadang-kadang bila dah tutup pun, masih dapat beli kalau benar-benar memerlukan,” katanya.
Menurut mereka, stesen minyak paling hampir dengan Kampung Tebelu adalah kira-kira 50 kilometer (KM) yang menyukarkan mereka untuk mendapatkan bahan api. – TVS