KUCHING, 17 Julai: Pustaka Book Fair 2023 (PBF 2023) yang bakal berlangsung di lokasi berbeza akan bermula di Pustaka Negeri Sarawak pada 22 Julai hingga 30 Julai 2023 ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, objektif utama PBF 2023 bertujuan untuk menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat di samping menyediakan platform berinteraksi untuk penerbit dan penulis.
Kata beliau, ini seterusnya akan menyokong kelangsungan industri buku di Sarawak.

“Lokasi PBF 2023 akan diteruskan di Pustaka Negeri Sarawak Sibu pada 3 hingga 6 Ogos 2023 dan Bintang Megamall, Miri pada 10 hingga 13 Ogos 2023.
“PBF 2023 juga menyediakan peluang masyarakat tempatan memperolehi bahan bacaan yang sesuai dengan keperluan dan minat mereka,” katanya pada sidang media PBF 2023 di Bangunan Baitul Makmur II, Petra Jaya, Kuching, pada hari ini.
Sebanyak 14 pempamer akan menyertai PBF 2023 antaranya Popular Bookstore Sdn Bhd, Buku Fixi, Biblio Bookshop dan Press, Sinar Suci, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), MyBookstore Sdn Bhd, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Toko Buku Pujangga Baru, Kolej Universiti i-Cats, CENTEX Commercial, Triple F Enterprise, Pameran Arked Islam Nusantara (Sarawak), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan UNIMAS Publisher.
PBF 2023 dianjurkan oleh Pustaka Negeri Sarawak dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Malaysian Book Publishers Association (MABOPA), Perbadanan Kota Buku, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) dan Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Sarawak (PPMKSAR).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli turut menyeru orang ramai menghadiri PBF 2023 bagi memberi sokongan terhadap usaha mempromosi budaya membaca sepanjang hayat sekali gus membantu merealisasikan hasrat Sarawak menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Apabila meningkatnya ilmu pengetahuan masyarakat, kita akan dapat menambah nilai pada produk dan perkhidmatan yang kita yang ditawarkan,” katanya.
Pelbagai aktiviti menarik akan turut dilangsungkan termasuk Kuiz Hari Sarawak, seminar, cabutan bertuah, jualan food truck dan banyak lagi.
Untuk keterangan lanjut, sila layari https://www.pustaka-sarawak.com/apps/pbf2023/ atau hubungi Nur Azah Azizudin di talian 082-442000. -TVS