KOTA KINABALU, 17 Julai: Penganjuran Jualan Minggu Usahawan Negara (MUN) dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) raih keuntungan RM82.86 juta di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, jumlah keseluruhan jualan MUN dan Minggu PKMS berjaya mencapai sasaran kementerian berdasarkan zon yang ditetapkan.
“Saya difahamkan jumlah jualan di Sabah sepanjang dua hari sebanyak RM4.34 juta menjadikan jumlah keseluruhan jualan MUN dan Minggu PMKS tahun ini (2023), sebanyak RM82.86 juta,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Penutupan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PKMS) Zon Sabah 2023, semalam.
Ewon berkata, jumlah jualan melebihi tahap sasaran kementerian iatu sebanyak RM70 juta.
“Jumlah ini telah melebihi sasaran jualan dan potensi jualan yang ditetapkan sebanyak RM70 juta di seluruh negara tahniah kepada semua usahawan dan semua yang terlibat dalam program ini,” katanya.
Untuk rekod sambutan MUN dan Minggu PMKS telah diadakan di 6 zon iaitu di Zon Utara (Pulau Pinang), Zon Selatan (Melaka), Zon Pantai Timur (Pahang), serta Zon Sarawak dan telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri di peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur pada 9 Julai 2023 yang lalu.
Selain bertujuan untuk memupuk budaya keusahawanan, penganjuran MUN dan Minggu PMKS juga bertindak sebagai salah satu platform untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan PMKS. -TVS