KOTA SAMARAHAN, 17 Julai: Pameran Digital Bahagian Kota Samarahan bersempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka mencatatkan rekod kehadiran pengunjung tertinggi berbanding bahagian lain dengan lebih daripada 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Residen Bahagian Kota Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang berkata, angka memberangsangkan itu memperlihatkan kejayaan penganjurannya.
“Pameran digital yang kita buat di The Summer Mall, Kota Samarahan mencatatkan rekod pengunjung tertinggi iaitu melebihi 10,000 pengunjung.
“Saya rasa memang angka itu memperlihatkan minat dalam kalangan masyarakat Sarawak untuk mengambil tahu terutama mengenai pencapaian yang diraih Sarawak sepanjang 60 tahun kemerdekaan.
“Pada masa sama, pameran itu juga telah berjaya menyalurkan maklumat mengenai perkhidmatan agensi kerajaan, projek pembangunan, perancangan Kerajaan Sarawak dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS semasa menyertai Konvoi Kembara Sarawak Merdeka 60 Tahun Bahagian Samarahan yang singgah di Kampung Empila di sini, hari ini.
Ia menyaksikan sebanyak 50 motosikal berkuasa tinggi meneruskan perjalanan ke Simunjan dan Gedong hari ini.
Sementara itu, Mohammad Irwan berkata, pihaknya mencadangkan Kerajaan Sarawak untuk memperluaskan lokasi penganjuran pameran digital itu terutama di kawasan pedalaman.
“Cadangan itu perlu dipertimbangkan kerana program seperti itu merupakan platform kepada kita untuk mendekati rakyat bagi mendedahkan sejarah dan pencapaian Sarawak, selain menyampaikan maklumat mengenai rancangan kerajaan,” katanya. – TVS