KUCHING, 17 Julai: Lebih 2,000 perwakilan dari seluruh dunia akan berkumpul di sini sempena Kongres Antarabangsa untuk Perubatan Tropika dan Malaria (ICTMM) Ke-21.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata Sarawak dipilih sebagai tuan rumah kongres bertemakan ‘Tindak Balas Global dan Penyelidikan Antara Disiplin Ke Arah Menghapuskan Penyakit Tropika’ yang diadakan pada 19 hingga 23 September 2024.
“Kongres ini akan membincangkan topik seperti penyakit terabai, rintangan dadah, perubatan perjalanan dan zoonosis (penyakit dan jangkitan yang disebarkan antara haiwan dan manusia).
“Pengetahuan, pandangan dan kerjasama yang diperoleh daripada kongres itu boleh diterjemahkan ke dalam penyelesaian dan intervensi praktikal yang menangani cabaran penyakit tropika di wilayah masing-masing,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Malah, kongres berkenaan akan meletakkan Sarawak sebagai satu hab terkemuka di rantau ini dalam kerjasama saintifik serta perubatan.
Dalam pada itu, Dr Sim berkata kes malaria di Malaysia telah menurun sejak beberapa tahun lalu dengan kurang daripada 4,000 kes dilaporkan pada 2022.
“Dari segi sejarah, Borneo mempunyai penularan penyakit tropika yang lebih tinggi berbanding kawasan lain disebabkan oleh iklim tropika dan kepelbagaian geografi kita.
“Ini mewujudkan pelbagai habitat bagi penyakit seperti malaria, demam denggi dan penyakit tropika lain,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak (BESarawak) Amelia Roziman berkata penganjuran ICTMM dijangka akan memberi impak ekonomi berjumlah RM24.6 juta.
Menurutnya, kongres itu turut dijangka memperoleh RM13.4 juta hasil perbelanjaan daripada para perwakilan.
“Sebanyak 1,952 pekerjaan bakal diwujudkan daripada penganjuran kongres itu,” katanya. – TVS