KUCHING, 17 Julai: Kerajaan Sarawak menyasarkan sebanyak 287 buah klinik akan mempunyai akses internet laju menjelang 2026.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, ketika ini hanya 148 buah klinik yang mempunyai akses berkenaan namun berdepan pula masalah kekurangan bekalan perubatan.
Kata beliau, langkah untuk memperkasakan perkhidmatan klinik secara digital akan segera dilaksanakan.
“Sebaik sahaja menerima surat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, saya akan membawa perkara ini kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (untuk kelulusan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan ‘Hope Delivery Bringing Health For All’ di Old Court House, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Dr. Sim turut menyaksikan simbolik penyerahan sebanyak 48 peralatan perubatan yang terdiri daripada sistem analisis darah, penganalisis hemoglobin, penganalisis hematologi dan penganalisis air kencing kepada 12 klinik pedalaman Bahagian Bintulu.
Sementara itu, Dr. Sim yang Menteri Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, pihaknya juga telah mencadangkan kepada Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) untuk menjajarkan semula kabel gentian optik yang meliputi klinik kesihatan sebagai sebahagian projek yang menghubungkan kabel gentian optik di 681 buah sekolah.
Mengulas mengenai autonomi kesihatan yang diperjuangkan oleh Sarawak pula, Dr. Sim berkata, rundingan mengenai peruntukan kewangan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kini dibincangkan bersama Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).-TVS