SIBU, 17 Julai: Seramai 10 finalis layak ke peringkat akhir untuk merebut mahkota Kumang Pesta Kebudayaan Dayak Borneo (BDCF) 2023 yang akan berlangsung di Dataran Bandar Sibu Fasa 1 pada 21 Julai ini.
Kesemua mereka berjaya menambat hati juri ketika peringkat saringan yang membabitkan 18 peserta berlangsung semalam.
Dianjurkan oleh Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS), Pertandingan Kumang BDCF merupakan antara acara utama pada pesta berkenaan.
Pengerusi SIDS Sibu, Angelyn Uchi Maseng berkata, pada tahun ini penganjur menyediakan hadiah yang lebih lumayan.
“Pemenang utama atau Kumang akan membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta mahkota, selempang, piala, hamper dan bunga manakala gelaran Lulong atau naib johan pula akan menerima RM3,000.
“Peserta yang merangkul tempat ketiga iaitu gelaran Selinggar Matahari akan menerima RM2,000 dan hadiah sampingan,” katanya.
Ujar beliau, hadiah sagu hati RM600 juga akan diberikan kepada kesemua peserta akhir.
Mengulas lanjut mengenai pertandingan itu, Angelyn memberitahu ia bertujuan untuk memperkenalkan pakaian tradisional kaum Iban terutamanya ngepan indu kepada generasi muda.
“Kesemua finalis diwajibkan untuk memperagakan ngepan indu pada peringkat akhir,” katanya.
Antara 10 finalis yang mara ialah Clara Amanda Buyong, Marenny Radin, Caroline Lika Undi, Mitchelle Linjah Guntor, Angelina Rani Gawan, Jessica Ajik David, Kartina Bagan, Sherlingtia Mogan, Amelia Tina Naong dan Maryline Dyna Alexius. – TVS