Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengetuai Konvoi Kembara Sarawak Merdeka Bahagian Samarahan hari ini. Foto: Hafeezzur Muzamir (TVS).

Sarawak berpendapatan tinggi, tingkat pembangunan negeri – Abdul Karim

ByHafeezzur Muzamir

KOTA SAMARAHAN, 16 Julai: Rakyat Sarawak akan menerima manfaat sejajar dengan statusnya kini sebagai negeri berpendapatan tinggi seperti dinyatakan oleh Bank Dunia

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pendapatan yang dimiliki tidak akan diberi secara terus kepada rakyat, tetapi sebaliknya digunakan untuk meningkatkan tahap pembangunan di negeri ini.

Sarawak berpendapatan tinggi, tingkat pembangunan negeri.

“Kita kena atur rancangan bagaimana duit yang banyak dimiliki Sarawak dapat diatur supaya ia dapat mengangkatkan lagi tahap pembangunan ekonomi rakyat.

“Bukan dengan cara memberi begitu sahaja sebab kalau beri duit ia tidak mendatangkan manfaat besar. Oleh itu, kita akan belanjakan secara terperinci kepada pembangunan prasarana, pembangunan insan dan sebagainya supaya rakyat dapat meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka 60 Tahun Bahagian Samarahan di The Summer Mall di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang dan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.

Sementara itu, Abdul Karim berharap Kerajaan Persekutuan tidak akan mengurangkan peruntukan belanjawan kepada Sarawak disebabkan negeri ini mencapai status maju.

Abdul Karim menjelaskan, Kerajaan Pusat perlu bersikap adil terhadap jumlah peruntukan yang diberikan kepada setiap negeri, lebih-lebih lagi kepada Sarawak yang kini sedang rancak dengan pelaksanaan projek pembangunan.

“Ada juga kekhuatiran kita bahawa Kerajaan Pusat mengurangkan peruntukan kerana Sarawak sudah diktiraf sebagai negeri maju.

“Kita tidak mahu ini berlaku kerana apabila menjadi sebahagian daripada anggota dalam Malaysia, ia merupakan tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk membangunkan setiap negeri di bawah jagaan mereka,” jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Ahli Ekonomi Malaysia Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi di Twitter miliknya memberitahu bahawa Sarawak kini telah mencapai status negeri berpendapatan tinggi di Malaysia.

Ciapan itu menunjukkan Sarawak kini telah melepasi Ambang Pendapatan Tinggi 2022 dengan melebihi USD13,205 Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan