Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah hadir menyempurnakan Majlis ‘flag off’ itu dan seterusnya menyertai konvoi yang bergerak ke Kompleks Sukan Asajaya. Foto: Hafeezzur Muzamir (TVS).

Penganjur SPISC 2023 perlu bertanggungjawab selesai pembayaran kepada vendor – Abdul Karim

ByHafeezzur Muzamir

KOTA SAMARAHAN, 16 Julai: Penganjur Kejohanan Silat Antarabangsa Premier Sarawak (SPISC) 2023 diminta untuk bertanggungjawab dengan menyelesaikan bayaran kepada vendor yang terlibat sepanjang kejohanan itu dilangsungkan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, Kerajaan Sarawak tidak bertanggungjawab dengan isu tersebut memandangkan peruntukan jutaan ringgit telah disalurkan kepada pihak penganjur.

Penganjur SPISC 2023 perlu bertanggungjawab.

“Premier sudah memberikan duit, jumlahnya bukan sedikit, ia melibatkan jutaan ringgit peruntukan untuk pihak penganjur mengendalikan acara itu.

“Ia terpulang kepada pihak pengurusan untuk mengatur kos-kos yang terlibat.

“Kalau tidak diatur dengan betul, kosnya akan melebihi peruntukan dan untuk datang semula berjumpa agak sukar sedikit kerana sebelumnya Premier telah diberi taklimat oleh penganjur dan diberi perincian mengenai kos penganjuran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir menyempurnakan Majlis Pelepasan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka 60 Tahun Bahagian Samarahan di The Summer Mall di sini, hari ini.

Menurut Abdul Karim, sekiranya berlaku kesilapan dalam pengendalian kos, pihak penganjur perlu bertanggungjawab dengan mengaturnya semula dan tidak seharusnya menjejaskan imej Kerajaan Sarawak.

Sementara itu, mengulas mengenai sama ada kementeriannya akan campur tangan dalam isu tersebut, Abdul Karim berkata, tiada keperluan melakukannya memandangkan kementeriannya telah melunaskan segala peruntukan kepada pihak penganjur.

“Berdasarkan apa yang saya tahu, di pihak kita (Kerajaan Sarawak) ia telah diselesaikan.

“Kita tidak benarkan dua tiga kali penganjur datang berjumpa semula, kita akan berlaku adil seperti pengurusan pihak penganjur acara lain,” katanya.

Abdul Karim menambah, kementeriannya mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menguruskan pemberian peruntukan dalam menganjurkan acara.

Semalam, tular di laman sosial mengenai rintihan beberapa pihak yang mendakwa masih belum menerima bayaran daripada pihak penganjur sehingga ke hari ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan