KOTA SAMARAHAN, 16 Julai: Kerajaan Sarawak akan memperhalusi cadangan supaya menjadikan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka sebagai acara tahunan, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, ketika ini pihaknya bercadang untuk meneruskan konvoi itu pada tahun depan namun pada skala yang lebih kecil.
Ujar Abdul Karim lagi, penganjuran secara besar – besaran yang melibatkan keseluruhan bahagian di Sarawak menelan kos yang tinggi.
Konvoi Kembara Sarawak Merdeka tiba di Samarahan diketuai Premier Sarawak
“Kita kena lihat signifikannya, kalau sambutan ke-60 tahun sesuai (dianjurkan di seluruh Sarawak) begitu juga dengan sambutan ke-65 atau 70 tahun namun kalau dianjurkan pada setiap tahun, mungkin kita laksanakan pada skala yang lebih kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai konvoi itu di The Summer Mall di sini menuju ke Asajaya hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, konvoi yang dianjurkan pada skala kecil juga mampu mencapai matlamatnya untuk menyemarakkan semangat kemerdekaan.
“Penganjuran konvoi bertujuan untuk menyampaikan kepada rakyat terutama golongan belia mengenai perjuangan Sarawak mengecapi kemerdekaan.
“Kita mahu mereka yang lahir selepas 1963 dapat menghayati perjuangan kemerdekaan Sarawak,” ujarnya. – TVS