GURUN, 16 Julai: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk tidak bersikap defensif terhadap serangan yang dibuat pihak lawan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO tidak boleh mengalah sebaliknya perlu melawan dan menyerang mereka kembali habis-habisan.
“Dulu propaganda dia (Perikatan Nasional) ‘bersih’ dan kita pula tak jawab banyak, rupa-rupanya tertanam di sebahagian anak-anak muda kita, memang betul ‘bersih’.
Saya Menteri Kewangan, tengok fail-fail, saya dulu Ketua Pembangkang, memang serang kuat, tapi tak terjangkau apa yang mereka lakukan, dengan perjudian haram, orang kata biasa, masa PN naik kepada 22 dengan PAS dan Bersatu di situ.
Masa kita, saya dengan Datuk Zahid (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) di antara langkah pertama kita turunkan kembali kepada lapan…ini bukan perkara kecil,” katanya semasa berucap pada program Jelajah Perpaduan MADANI dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Guar Chempedak, dekat sini semalam.
Anwar berkata, dalam masa lapan bulan memerintah negara, banyak masalah yang telah dan sedang diselesaikan kerajaan membabitkan pelbagai bidang termasuk pertanian dan pengangkutan.
Beliau berkata, ketika mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri, belum pernah ada pertelagahan dalam soal untuk memartabatkan Melayu dan Islam walaupun ada pihak yang mempersoalkan perkara itu.
“Prinsip perlembagaan yang disepakati (oleh Kerajaan Perpaduan) tidak pernah dikorbankan, ini dok cerita di luar bahawa pimpinan Kerajaan Perpaduan ini akan khianat amanah bangsa.
Bagi satu contoh di mana kita khianati Islam, bagi satu contoh di mana kita abaikan nasib orang Melayu, tidak ada, yang ada propaganda jahat dan fitnah di luar, saya minta rakyat Kedah bangkit dan tolak fitnah, tolak khianat ,” katanya.
Turut hadir Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta beberapa pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan yang lain. -TVS