SONG, 16 Julai: Tiga lelaki maut selepas sebuah motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta sedan di Kilometer 4, Jalan Song-Kapit di sini, petang semalam.
Ketiga-tiga mangsa yang maut dikenali sebagai Joshua Richard (penunggang) berusia 38 tahun dan dua pembonceng, Jimbai Ujam dan Sempun Lau, masing-masing berusia 57 dan 51 tahun.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Song, Deputi Superintendan (DSP) Rowney Michael Jalak berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 19 tahun dalam perjalanan dari arah Kapit menuju ke Song bertembung dengan sebuah motosikal.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal yang ditunggang Joshua bergerak dari arah Song menuju ke Kapit dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan kenderaan Proton Wira yang datang dari arah bertentangan.
“Setiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang dinaiki tiga lelaki terbabit telah bertembung dengan Proton Wira sehingga menyebabkan mereka tercampak ke atas jalan,” katanya ketika dihubungi TVS.
Ekoran daripada kemalangan itu, katanya, penunggang dan dua pembonceng meninggal dunia akibat kecederaan parah.
“Kesemua mangsa yang menaiki motosikal terbabit telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala pemandu kereta Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Mayat ketiga-tiga mangsa kemalangan itu telah dihantar ke Hospital Kapit untuk bedah siasat.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” tambah beliau.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Andy Alie ketika dihubungi berkata, pihaknya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song menerima panggilan kecemasan pada jam 5.38 petang,
“Tiada kerja-kerja penyelamatan dijalankan kerana tiada mangsa yang tersepit dan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) hanya menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kemalangan dan seterusnya memastikan keadaan di lokasi selamat,” katanya. -TVS