KOTA SAMARAHAN, 14 Julai: Pameran Digital di Samarahan bersempena Sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka menyaksikan sebanyak 15 buah reruai terdiri daripada pelbagai kementerian di bawah Kerajaan Sarawak termasuk pentadbiran Samarahan.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee mempelawa warga di sini untuk datang berkunjung ke tapak pameran yang berlangsung di pusat beli-belah Summer Mall Samarahan.
“Saya melihat keseluruhan reruai atau pameran digital yang ada di sini sangat memberikan manafaat kepada semua pengunjung terutama dalam menyediakan informasi berkenaan dengan pembangunan di Sarawak termasuk Samarahan.
“Kepada warga Samarahan ataupun kawasan sekitar termasuk Kuching, Asajaya, Sadong Jaya dan seluruh warga Sarawak dipelawa datang berkunjung ke Summer Mall sempena sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka yang bermula hari ini hingga Ahad, 16 Julai,” katanya.
Rodiyah berkata demikian kepada TVS selepas menyempurnakan pra perasmian Pameran Digital di Summer Mall, Samarahan, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat reruai TVS dan mencuba bakat menyampaikan berita dengan bantuan kakitangan TVS.
Antara kementerian yang mengambil bahagian dalam pameran digital itu adalah Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MySED), Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT).
Selain Pameran Digital, terdapat juga gerai jualan makanan melibatkan 60 gerai ‘Sarawak Kitchen’ dan 20 usahawan dari Samarahan dan sekitarnya.
Hadir sama Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang-TVS