Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dr Sim ketika melawat salah satu gerai pameran di program Aram Berambeh Farmasi 2023 hari ini. Foto: TVS

Pupuk masyarakat sedar keaslian ubat-ubatan berdaftar – Dr Sim

KUCHING, 15 Julai: Kesedaran dalam kalangan masyarakat berhubung keaslian ubat-ubatan yang berdaftar di pasaran perlu dipupuk, kata Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Menurut beliau inisiatif itu dilaksanakan secara label keselamatan Hologram Farmatag serta penggunaan aplikasi Farmachecker yang telah diperkenalkan oleh pihak berkaitan.

Sehubungan itu, beliau mengakui Program Aram Berambeh Farmasi 2023 merupakan platform terbaik untuk tujuan berkenaan yang dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Syarikat Techno Secure Print (TSP).

“Program ini bertujuan untuk menjana kesedaran orang ramai mengenai pengenalpastian ciri-ciri utama yang terdapat dalam produk berdaftar, terutamanya menekankan kepentingan Label Keselamatan Hologram Farmatag.

“Oleh itu dengan membiasakan orang ramai dengan ciri-ciri penting ini, kita memperkasakan individu untuk membuat pilihan termaklum dalam hal memilih produk tulen, berdaftar dan mengiktiraf keaslian dan integriti yang disampaikan melalui Label Keselamatan Hologram Farmatag,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Aram Berambeh Farmasi 2023 di pusat beli-belah Vivacity Mall di sini pada Sabtu.

Bercakap mengenai program hari ini, Dr Sim menyifatkan ia sebagai pendedahan awal kepada masyarakat mengenai ciri-ciri ubat-ubatan yang berdaftar sekali gus mengelak pembelian produk perubatan yang tidak berdaftar yang boleh membahayakan para pengguna.

“Program ini juga menangani satu lagi isu mendesak iaitu risiko yang berkaitan dengan pembelian produk farmaseutikal melalui platform dalam talian.

“Walaupun e-dagang menyediakan kemudahan, adalah penting untuk tidak mengabaikan potensi bahaya yang ditimbulkannya.

“Oleh itu, adalah penting untuk mewujudkan kesedaran tentang risiko produk tidak berdaftar, membolehkan individu membuat pilihan termaklum dan melindungi diri mereka dan orang tersayang,” ujarnya.

DIfahamkan program dua hari itu dimeriahkan dengan pengisian ceramah dan forum menarik yang dianjurkan untuk pengunjung,

Selain itu, terdapat juga pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan seperti permainan, zumba, dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak serta tujuh sesi cabutan bertuah yang menyajikan hadiah lumayan.

Terdapat 30 gerai pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang menawarkan pelbagai perkhidmatan serta jualan berkaitan dengan kesihatan untuk para pengunjung. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan