SIBU, 15 Julai: Seorang ahli perniagaan berputih mata selepas terjerat dalam pembelian token Tether (USDT) yang tidak wujud melalui aplikasi Wechat sehingga mengalami kerugian berjumlah RM 30,001.50
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berusia lingkungan 30-an itu telah menerima pesanan melalui aplikasi berkenaan dengan menawarkan untuk menjual matawang 6,667 USDT kepada mangsa bernilai RM30,001.50
“Mangsa berminat untuk membuat pembelian itu, suspek memintanya untuk membuat bayaran ke atas akaun yang diberikan.
“Mangsa telah membuat pembayaran sebanyak dua kali transaksi ke dalam satu akaun tempatan seperti mana diarahkan oleh suspek,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini
Bagaimanapun, menurut Zulkipli setelah mangsa menghantar resit pembayaran, akaun WeChat mangsa telah disekat.
“Mangsa bagaimanapun menyedari dirinya ditipu sebelum membuat laporan polis pada 14 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pembelian seecara dalam talian dan melaporkan kepada Pusat Respon Scam Kebangsaan di talian 997 untuk membuat tindakan pantas menyekat wang yang telah diserahkan kepada sindiket penipuan.
“Jangan mudah membuat pembayaran ke dalam akaun bank atas nama individu yang berlainan daripada penjual,” jelasnya.