KUCHING, 15 Julai: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menerima Bintang Darjah Kebesaran Negara Brunei Darussalam iaitu Bintang Darjah Paduka Seri Laila Jasa Yang Amat Berjasa Darjah Pertama (PSLJ) yang membawa gelaran Dato Paduka Seri Laila Jasa, hari ini.
Penganugerahan telah dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’Izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei.
Menurut Awang Tengah, pengurniaan anugerah itu merupakan penghargaan yang tertinggi buat diri beliau dan juga Sarawak.
“Ini menunjukkan bahawa hubungan erat di antara negara Brunei Darussalam dengan Malaysia khususnya Sarawak yang begitu rapat sekali.
“Ia bukan sahaja di peringkat kerajaan, tetapi hubungan dari segi keluarga di antara masyarakat dan dari segi sosial begitu rapat sekali serta dari segi perniagaan dan juga perdagangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Istiadat Pengurniaan Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-77, di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei, pada Sabtu.
Mengulas lanjut menurut beliau terdapat banyak perkara dan perbincangan akan diadakan dalam masa terdekat antara Brunei dan Malaysia, khususnya negeri ini dalam usaha meningkatkan lagi hubungan di antara dua negara yang merangkumi pelbagai aspek.
“Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan (Brunei) ini sendiri.
“Malahan, di peringkat Brunei dengan Sarawak, kita ada syarikat bersama yang perlu diteruskan dan ia merupakan salah satu daripada platform yang kita mahu perincikan,” katanya. -TVS