KUCHING, 14 Julai: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bakal menyempurnakan sambutan Ma’al Hijrah dan Majlis Kesyukuran Perdana sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Kuching pada 18 hingga 21 Julai ini.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sambutan anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) itu turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Majlis Doa Akhir Tahun 1444 Hijrah dan Awal Tahun 1445 Hijrah akan diadakan pada 18 Julai ini di Masjid Jamek Negeri Sarawak bermula 5.30 petang.
“Perhimpunan Ma’al Hijrah pula diadakan pada 19 Julai bertempat di Dewan Kompleks Islam Sarawak pada 9 pagi, manakala Majlis Kesyukuran Perdana Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka diadakan pada 21 Julai di Masjid Jamek Negeri Sarawak bermula 5.30 petang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurut Dr Abdul Rahman, sambutan tahun ini turut menyaksikan pengurniaan Anugerah Ma’al Hijrah yang terbahagi kepada 11 kategori.
Anugerah tersebut katanya ialah Anugerah Penyelidikan dan Pembangunan, Anugerah Penjawat Awam Islam, Anugerah Penjawat Awam Bukan Islam, Anugerah Keluarga Cemerlang, Anugerah Saudara Kita, Anugerah Belia, Anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Masjid, Anugerah Pengurusan dan Pentadbiran Surau, Anugerah Sekolah Agama, Anugerah Pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Anugerah Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kesemua pemenang anugerah ini akan menerima hadiah berupa wang tunai, sebuah plak dan sijil yang ditandatangani oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” jelasnya.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.– TVS