KUCHING, 14 Julai: Profesionalisme, kecekapan dan keupayaan kontraktor ditagih agar berupaya menyiapkan projek tepat pada masanya.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek-projek pembangunan di Sarawak memerlukan kontraktor memiliki kemahiran dan kepakaran tinggi dan boleh melaksanakan sesuatu projek infrastruktur, terutama sekali projek mega dengan lancar.
“Kita mempunyai banyak projek, jadi banyak peluang wujud,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sini, hari ini.
MoU itu ditandatangani antara Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak (PSKN) dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Ia bertujuan menambah baik dan memantapkan pengurusan pendaftaran dan pembangunan kontraktor di Sarawak berkaitan dengan pendaftaran, pemantauan dan pembangunan kontraktor tempatan.
Selain itu PSKN turut melaksanakan dua inisiatif melalui Unit Pendaftaran Kontraktor dan Juruperunding (UPKJ) untuk meningkatkan penglibatan kontraktor Bumiputera dalam projek-projek kerajaan negeri.
Menjelas lanjut Uggah berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan adalah melalui pengeluaran pekeliling bagi memastikan 30 peratus projek Kerajaan Negeri diberikan kepada kontraktor Bumiputera.
Katanya untuk menyertai projek mega, syarikat dikehendaki mempunyai bilangan Bumiputera yang profesional dan separa profesional tertentu. Oleh itu, latihan dan pembangunan diperlukan untuk memastikan perkara tersebut tercapai.
Inisiatif kedua yang akan dilakukan adalah dengan memperkenalkan Program Kontraktor Berdaya Saing (PKBS) yang bertujuan sebagai platform untuk membangunkan kontraktor Bumiputera yang tulen dan berdaya saing di Sarawak selain meningkatkan penyertaan kontraktor Bumiputera dalam projek Kerajaan Negeri.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kewangan Negeri, Hasmawati Sapawi dan Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid. – TVS