Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dr Abdul Rahman ketika ditemu bual media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak Pesta Kedayan di Kampung Pabahanan. Foto: TVS

8,000 pengunjung termasuk dari Brunei bakal meriahkan Makan Tahun Kedayan

LIMBANG, 14 Julai: Kira-kira 8,000 pengunjung dari dalam dan luar negara membanjiri Kampung Pabahanan di sini sempena Program Makan Tahun Kedayan edisi ketujuh pada awal bulan depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pihaknya menjangkakan selain warga setempat pengunjung luar akan terdiri daripada rakyat negara jiran Brunei, Wilayah Persekutan Labuan, negeri Sabah dan daerah Miri.

Menurutnya program yang bakal berlangsung pada 4 hingga 6 Ogos itu diyakini akan mempromosikan kebudayaan dan adat tradisi suku kaum Kedayan di utara Sarawak.

“Pada bulan Ogos giliran Persatuan Kedayan Limbang (PKL) untuk mengadakan Makan Tahun Perdana, edisi yang ke-7 dan kita mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Residen dan pihak berkaitan khususnya PKL kerana sanggup untuk mengadakan program ini yang merupakan satu program berasaskan kebudayaan kaum dan sambutannya begitu baik sebelum ini.

“Makan Tahun Perdana diadakan secara bergilir-gilir di perkampungan masyarakat Kedayan dan Limbang mempunyai lebih kurang 20 buah kampung Kedayan,” katanya.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Pesta Kedayan di Kampung Pabahanan di sini, hari ini.

Dr Abdul Rahman menambah program itu nanti bakal dirasmikan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dalam pada itu, beliau optimis program itu mampu menarik kemasukan pengunjung luar untuk menyaksikan keunikan budaya kaum Kedayan selain menonjolkan sukan tradisi dan moden yang diadakan.

Setakat ini katanya, PKL kini sedang melakukan persiapan rapi untuk menganjurkan program berskala gergasi itu.

Menurutnya, peruntukan berjumlah RM150,000 sudah diagihkan kepada persatuan tersebut untuk membina kemudahan tapak letak kereta, jualan makanan selain kemudahan sukan tradisi pesta berkenaan.

Budaya Makan Tahun merupakan salah satu adat resam kaum Kedayan yang dahulunya dilakukan selepas menuai padi.

Makan Tahun akan diadakan sebagai tanda kesyukuran kerana mendapat hasil menuai padi yang memberangsangkan dan acara berkenaan diadakan bagi mengharapkan mereka mendapat pendapatan yang lebih baik pada masa akan datang.

Hadir sama Timbalan Pegawai Daerah Limbang, Hamidah Halpi dan Wakil Residen Bahagian Limbang, Awangku Shahrizan Awangku Maidin.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan