Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sapok Biki (kiri) melatih Mohammad Rafieq Murshidi (kanan) sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang bakal berlangsung tahun depan. Foto: Aziz Soleh (TVS).

Sukan tinju sinar masa depan pesalah juvana

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 13 Julai: Pernah terjebak dalam kes jenayah berat hingga dirinya bergelar pesalah juvana, kini siapa menduga anak muda ini bergelar juara tinju serta berjaya mengharumkan nama Sarawak.

Mohammad Rafieq Murshidi ketika beraksi pada pusingan akhir tinju kategori bawah 65 kilogram pada temasya SUKMA 2020 di Kuala Lumpur, tahun lalu. Foto: UKAS.

Walaupun masih terpalit dengan sejarah lampau, Mohammad Rafieq Murshidi, 20, tidak pernah berpatah semangatnya menjuarai beberapa siri kejohanan tinju remaja kebangsaan.

Malahan di sebalik pencapaian yang diraih, ketika ditemui penulis, Rafieq mengakui masyarakat masih berat hati untuk menerima dan memaafkan kesalahan lalunya.

“Kita semua tidak terlepas daripada melakukan kesalahan, apa yang saya lakukan telah menerima hukuman, tetapi kesalahan dan aib mereka (masyarakat) tuhan tutup.

“Saya beruntung dapat masuk Sekolah Henry Gurney untuk berubah menjadi insan yang lebih baik, mungkin mereka (masyarakat) merasakan diri mereka bagus sehingga memandang rendah akan kami bekas pesalah juvana,” katanya.

Mohammad Rafieq Murshidi (biru) ketika menewaskan petinju dari Sabah pada peringkat separuh akhir temasya SUKMA 2020 di Kuala Lumpur, tahun lepas. Foto: UKAS.

Namun ketika ini, Rafieq mengakui peluang untuknya mendapat pekerjaan masih tipis berikutan keengganan pihak majikan menggaji pesalah juvana sepertinya.

Tidak berkecil hati dengan situasi itu, Rafieq juga tidak mahu menoleh ke belakang lagi justeru berbekalkan elaun RM900 sebulan yang disediakan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, dirinya memanfaat bantuan itu untuk menghadiahkan emas kepada Sarawak.

Menurutnya elaun berkenaan menjadi penyuntik semangatnya untuk membalas kepercayaan yang diberikan sekali gus menghadiahkan pingat emas kepada Sarawak dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

“Pada SUKMA 2024 nanti, saya berazam membawa pingat emas untuk Sarawak dan membanggakan ibu bapa saya, keluarga, jurulatih dan yang paling penting saya akan membuktikan kepada masyarakat di luar sana bahawa Sekolah Henry Gurney mampu mengubah insan yang lebih berguna,” ujarnya.

Sebelum ini, anak jati Kuching itu cemerlang meraih pingat perak dalam kategori 65 kilogram pada temasya SUKMA edisi ke-20 di Kuala Lumpur tahun lalu, dan pada edisi kali ini Raffieq diletakkan sebagai prospek untuk membutirkan kilauan emas bagi Sarawak.

Sementara itu, bekas peninju negara, Sapok Biki mendedahkan bahawa atlet berkenaan mempunyai keistimewaan unik dari segi karakter, fizikal dan ketahanan mental yang kuat berbanding atlet lain.

“Dia adalah satu bakat unik yang kita jumpa disebabkan dia adalah petinju yang bertangan kiri, selalu kalau kita jumpa petinju adalah tangan kanan.

“Kebiasaanya kalau peninju tangan kanan bila jumpa peninju tangan kiri ini dia agak kekok sikit. Saya harap Raffieq lebih menyerlah dan menjaga diri dia terutama dari segi latihan,” katanya.

Dalam pada itu, Sapok meminta masyarakat memberikan sokongan serta tidak menyisihkan bekas pesalah juvana agar mereka ini tidak terjerumus semula dalam masalah sosial.

Perkara sama diakui Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sambil menyatakan pihaknya sentiasa membuka pintu kepada bekas pesalah juvana yang mempunyai bakat dalam sukan untuk mengembangkan karier mereka.

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengulas mengenai potensi atlet dari Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo. Foto fail: TVS.

“Bagi saya kalau mereka mempunyai minat dan keupayaan, kita memang mengalu-alukan dan kita akan bantu.

“Kementerian berharap agar persatuan-persatuan sukan di negeri ini mencari bakat-bakat sukan dalam kalangan pesalah juvana yang mempunyai potensi dan seterusnya melatih mereka agar dapat mewakili negeri dan negara,” katanya.

Abdul Karim menambah pihaknya juga menyasarkan untuk melihat lebih ramai lagi bekas pesalah juvana mewakili Sarawak dalam temasya sukma tahun depan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan