KUCHING, 13 Julai: Sarawak tersenarai bersama negara Brazil untuk menjadi tuan rumah bagi Kongres dan Pameran Air Sedunia pada 2028.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, ketika ini delegasi daripada Persatuan Air Antarabangsa (IWA) berada di negeri ini bagi melakukan penilaian akhir untuk dimajukan kepada jawatankuasa pemilihan.
“Delegasi IWA berada di sini untuk beberapa hari bagi menilai kemampuan dan kesesuaian Sarawak untuk menjadi tuan rumah.
“Berdasarkan bidaan yang dilakukan oleh Persatuan Air Malaysia (MWA), kita yakin Sarawak mempunyai peluang lebih-lebih lagi kini kita berada di peringkat akhir pemilihan iaitu sama ada Bandaraya Kuching atau Sao Paulo, Brazil sebagai tuan rumah pada 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai menemani delegasi daripada Persatuan Air Malaysia (MWA) dan Persatuan Air Antarabangsa (IWA) melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Presiden MWA, Dr. Ir Mohmad Asari Daud.
Mengulas lanjut, Julaihi memberitahu sekiranya hak bidaan berjaya dimiliki oleh Sarawak, ia bakal menyaksikan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dipilih sebagai lokasi penganjuran.
Jelas beliau, pemilihan BCCK diakuinya tepat ekoran ia mampu menampung 10,000 perwakilan daripada 80 hingga 100 negara yang hadir pada persidangan dua tahun sekali itu.
“Dari segi logistik kalau kita lihat dari segi tempat tinggal dan sebagainya, kita mempunyai kemudahan hotel yang mencukupi.
“Ini ditambah dengan kemudahan hotel yang bakal dibangunkan dalam masa terdekat. Kita harus mempunyai logistik yang mencukupi untuk menganjurkan persidangan bertaraf antarabangsa ini,” ujarnya.
Julaihi menambah, keputusan bidaan itu akan diketahui pada 16 September depan di Perancis. – TVS