KOTA SAMARAHAN, 13 Julai: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Kota Samarahan akan menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan terus ke rumah pelanggan bermula September ini.
Ketua Bahagian (Operasi) Puspakom Dr Ahmad Zahiri Ismail berkata, perkhidmatan itu merupakan tambahan kepada dua perkhidmatan yang dilakukan mereka pada masa ini.
“Buat masa ini, perkhidmatan yang disediakan ialah penukaran nama pemilik kenderaan dan pemeriksaan bagi penukaran nombor kenderaan termasuk kenderaan yang diimport,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin di cawangan terbaharu Puspakom Kota Samarahan, di sini, hari ini.
Bayaran perkhidmatan bergerak akan berbeza berbanding perkhidmatan di Puspakom.
“Kita akan mengenakan bayaran lebih sedikit bagi perkhidmatan pintu ke pintu dan saya harap perkhidmatan baharu ini akan memudahkan pelanggan bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan PUSPAKOM” katanya.
Mengenai pembayaran perkhidmatan, Puspakom Kota Samarahan hanya menerima bayaran secara dalam talian selain tidak menolak cadangan Kim Shin bagi penggunaan aplikasi Sarawak Pay pada masa akan datang.
Cawangan berkenaan mula beroperasi 1 Ogos ini. – TVS