SERIAN, 13 JULAI: Penyanyi lagu ‘Sarawak Maju Makmur’ tidak pernah menduga lagu yang dirakamnya sempena ulang tahun ke-60 Sarawak mengecapi kemerdekaan dinobatkan sebagai juara.
Berkongsi lanjut penyanyi lagu itu, Ahmady Mohd Spuan,32, berkata penulis dan pencipta lirik, Kaderi Awang Lehi telah dilahirkan lagu berkenaan dalam tempoh masa yang singkat sebelum mempertaruhkan nasib menyertai Pertandingan Mencipta Lagu Tema Sarawak Maju Makmur.
“Lagu ini dihasilkan dalam masa yang begitu singkat sekali iaitu sekitar dua minggu oleh saya bersama dua orang lagi rakan membuat persiapan terakhir sebelum rakaman.
“Apabila kami mendapat keputusan berita bahawa lagu kami telah dinobatkan sebagai juara, perasaan gembira dan teruja tidak dapat digambarkan kerana kami tidak menyangka kemenangan itu berpihak kepada kami,” katanya ketika ditemui TVS di Siburan, pada Khamis.
Armady menambah, sehingga kini dirinya menyedari impak lagu ‘Sarawak Maju Makmur’ cukup bermakna baginya sebagai kakitangan Jabatan Penerangan Sarawak.
“Saya berterima kasih kepada penulis ini kerana telah memilih saya sebagai penyanyi asal dan saya anggap ini merupakan rezeki saya,” ujarnya.
Untuk rekod seramai 76 orang peserta yang menyertai pertandingan ini terdiri daripada 62 peserta dari Sarawak, 12 peserta dari Semenanjung Malaysia dan dua peserta dari Sabah.
Objektif pertandingan ini diadakan adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada warganegara Malaysia berkarya dengan mengutamakan anak-anak Sarawak, seterusnya memupuk semangat patriotik dalam kalangan warganegara Malaysia terutama rakyat negeri ini. -TVS