KUCHING, 13 Julai: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menyasarkan Kuching menjadi salah sebuah bandar raya yang mencatatkan rendah karbon terawal di Malaysia menjelang 2030.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi optimis usaha itu dapat dicapai dengan kerjasama semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) setiap daerah di seluruh negeri.
“Apabila Sarawak menjadi sebuah negara maju dalam Malaysia menjelang 2030, maka kita dapat mencapai negeri rendah karbon di tahap bandar raya pada masa yang sama.
“DBKU telah melaksanakan pelan strategik bermula tahun lepas merangkumi beberapa komponen penting, yang mengandungi lima teras utama dan 19 objektif strategik.
“Dalam pelan itu terdapat 80 pelan tindakan yang giat dilaksanakan oleh DBKU untuk mencapai tahap sebuah Bandaraya rendah karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Seminar Bandaraya Rendah Karbon di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Menurut beliau, ia merupakan Sasaran DBKU adalah memastikan Bandaraya ini memiliki udara bersih sekali gus warganya dapat menjalani kehidupan sejahtera serta mempunyai kesihatan yang tinggi.
Hadir sama Pengarah DBKU, Mohamed Khaidir Abang, Timbalan Pengarah DBKU, Rudzaimier Malek dan Timbalan Setiausaha Majlis Pembandaran Padawan (MPP), Henry Jalin Watt. – TVS