Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap pada sidang media mengenai Inisiatif Baru Kerajaan: Bantuan Pembelian Tiket Penerbangan untuk Pelajar Universiti Awam Bagi Laluan Domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan di kementeriannya semalam. Foto: Bernama.

Bantuan subsidi RM300 bagi tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam

ByBernama

PUTRAJAYA, 13 Julai: Kerajaan memperkenalkan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sebanyak RM300 untuk pelajar universiti awam bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang akan bermula 15 Ogos ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ia akan dilaksanakan melalui kaedah pemberian credit shell iaitu syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi pembelian tiket penerbangan laluan domestik.

“Bantuan subsidi tiket penerbangan tersebut hanya sah untuk pembelian tiket penerbangan sehala atau dua hala bagi laluan penerbangan kelas ekonomi antara tempat asal dan tempat pelajar sedang menuntut,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Loke berkata inisiatif yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat hari ini itu bakal memanfaatkan lebih 56,000 pelajar universiti awam di seluruh negara membabitkan kos keseluruhan yang dianggarkan berjumlah RM16.8 juta.

Beliau berkata sekiranya harga tiket yang dibeli adalah kurang daripada jumlah RM300 itu, baki baucar digital itu boleh digunakan bagi pembelian tiket seterusnya.

Loke berkata baucar tersebut hanya boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly serta MYAirline dan tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Oktober tahun ini.

“Namun, pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata untuk memohon bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan itu, pelajar universiti awam perlu membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan yang akan dimaklumkan kemudian.

“Sekiranya tidak layak, boleh membuat semakan dan rayuan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi melalui universiti masing-masing atau membuat permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan di laman sesawang syarikat penerbangan yang dipilih,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan