Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berdasarkan fakta, AI mampu mempelajari corak kehidupan manusia dan tidak mustahil untuk mempelajari ‘sikap dan kepintaran manusia’ pada masa depan. Foto hiasan: Envato.

AI mendominasi dunia, adakah bakal ganti manusia?

ByMuqri Aziz

KUCHING, 13 Julai: Kemunculan Kecerdasan Buatan (AI) yang dirujuk sebagai satu sistem atau mesin yang mensimulasikan kecerdasan manusia dilihat menimbulkan kebimbangan sistem itu bakal mengambil alih dunia.

Berdasarkan fakta, AI mampu mempelajari corak kehidupan manusia dan tidak mustahil untuk mempelajari ‘sikap dan kepintaran manusia’ pada masa depan.

Mendominasi dunia, adakah AI bakal ganti manusia?

Satu kajian yang dilaksanakan Microsoft dan International Data Corporation (IDC) bertajuk ‘Perniagaan Masa Depan: Menilai Potensi Pertumbuhan Asia Pasifik Menerusi AI’ pada tahun 2019 mendedahkan pemain industri dan pekerja di Malaysia mempercayai AI akan memudahkan tugas seharian mereka.

Menerusi kajian itu, 67 peratus pemain industri utama dan 64 peratus pekerja di negara ini percaya AI akan mengurangkan beban pekerjaan mereka namun tidak sampai ke tahap menggantikan keupayaan manusia.

ETIKA PENGGUNAAN AI

Penyelidik Institut Teknologi India, Delhi, Ishan Kukreti berpendapat meskipun ia satu isu kritikal yang perlu dibahaskan namun ia perlu dilihat sebagai satu cara meningkatkan kecekapan serta produktiviti sesuatu pekerjaan.

“Saya rasa aspek AI yang sangat penting yang tidak diperkatakan sebenarnya ialah etika AI. Jadi soalan mengenai berat sebelah, soalan mengenai akauntabiliti, ketelusan, yang sangat penting dan AI pada asasnya berdasarkan data masa lalu dan data masa lalu itu, jika data itu sampah, apa yang anda dapat daripada AI itu juga sampah.

“Oleh itu, anda harus benar-benar mengambil berat tentang kecenderungan yang ada pada AI ini dan lebih penting lagi untuk memikirkannya secara sedar kerana AI dilihat sebagai sesuatu yang kuantitatif, yang objektif, yang tidak akan berbohong kepada anda atau tidak akan mempunyai masalah dengannya tetapi ada masalah,” katanya.

Ujarnya juga satu perkara yang perlu dipertanggungjawab dalam menggunakan AI adalah memberi kebaikan kepada masyarakat.

JANGAN BIARKAN AI MEMBUAT KEPUTUSAN UNTUK MANUSIA

Editor Bilik Berita Television Broadcasts Limited Hong Kong, Raymond Cheng berpendapat, pengunaan AI seharusnya digunakan untuk melancarkan urusan pekerjaan harian dan tidak boleh bergantung sepenuhnya hingga ia membuat keputusan untuk kita.

“Namun, dalam hal penilaian yang melibatkan keputusan profesional dan pengetahuan khusus, saya rasa pengalaman dan pengetahuan manusia tetap diperlukan. Manusia akan selalu memiliki kemampuan untuk membuat penilaian yang profesional.

“Meskipun kita menggunakan bantuan komputer setiap hari untuk menjalankan tugas, keputusan akhir atau pembuat dasar harus didasarkan pada penilaian profesional,” katanya.

Ditanya mengenai adakah benar-benar robot bakal menganti manusia pada masa hadapan, beliau berkata ia ditentukan sendirinya melalui sejarah.

Manakala Sam Heng Chao yang merupakan seorang Editor Bilik Berita Bahasa Inggeris dari Teledifusão de Macau, S. A., penggunaan teknologi AI adalah satu trend yang cukup besar dan perlu dipelopori oleh setiap pemain industri baharu kerana kecekapan dan ketangkasannya dalam mempercepatkan sesuatu pekerjaan.

“Sebagai contoh, kita sering melakukan pencarian dan pemeriksaan maklumat yang melibatkan banyak sumber. Dalam hal ini, terdapat banyak alat dalam aplikasi AI yang memberikan kemudahan dan cara yang efisien untuk mencari maklumat.

“Inilah peranan yang dapat dimainkan oleh kecerdasan buatan dan kita dapat menggunakan teknologi itu dengan baik untuk menjalankan tugas harian kita.

“Kita perlu memperluas pemahaman dan mempelajari pengetahuan dalam bidang ini serta secara beransur-ansur mengintegrasikan alat AI ke dalam kerja harian,” ujarnya.

Heng Chao percaya penggunaan teknologi AI tidak akan menggantikan pekerjaan manusia, tetapi boleh menjadi alat bantu dalam pelbagai industri untuk mencapai hasil yang lebih baik.

KUASA BAHARU, TANGGUNGJAWAB BAHARU

Justeru, kemahiran manusia akan terus relevan jika manusia sanggup beradaptasi dengan kemajuan teknologi.

Selain itu, kerajaan dan pembuat polisi juga perlu terus berwaspada dengan perubahan yang dibawakan AI dalam pasaran pekerjaan tanpa merencatkan pembangunan teknologi, perlindungan terhadap hak pekerja terutamanya melibatkan peluang latihan dan kemajuan perlu diutamakan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan