KUCHING, 12 JUN: Pelayaran Royal Kuching Cruise yang menelusuri Sungai Sarawak diyakini akan memberi impak positif kepada sektor pelancongan sekali gus melonjakkan pendapatan negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata produk pelancongan air itu berpotensi dikomersialkan selain memberi pendedahan terhadap peluang pelancongan kepada masyarakat setempat seterusnya mempromosikan hasil tempatan.
“Di Sarawak terdapat bandar-bandar yang tumbuh di tepi sungai, ini kerana pada zaman dahulu sungai adalah satu-satunya laluan utama bagi pengangkutan.
“(Justeru itu) Pihak kementerian akan menyarankan kepada pengusaha crusie seperti ini agar mewujudkan aktiviti di setiap perkampungan yang terdapat pinggir sungai ini untuk menerima pelancong,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Royal Kuching Cruise di Tebingan Kuching di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu Abdul Karim berkata pihak majlis berkuasa tempatan (PBT) juga disaran untuk menambah keceriaan dengan tarikan seperti menyalakan lampu neon untuk menyerikan lagi pemandangan sekitar sungai berkenaan.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Datu Junaidi Reduan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) STB Sharzede Salleh Askor.