KUCHING, 12 Julai: Kira-kira RM200 juta diperlukan Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak untuk menaik taraf Kompleks Sukan Sarawak untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) tahun hadapan.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, fasaliti sukan di lapan bahagian di seluruh negeri telah dikenal pasti untuk dinaik taraf yang melibatkan 37 jenis acara sukan yang bakal dipertandingkan kelak.
Menurut beliau, pihaknya sudah mendapatkan maklum balas daripada pihak yang bertanggungjawab untuk menguruskan senarai fasiliti yang telah dikenal pasti.
“Lebih kurang RM200 juta diperlukan untuk kerja menaik taraf sahaja, namun pihak yang mengendalikan kos-kos kemudahan itu akan melihat lagi secara terperinci.
“Namun begitu, saya tahu jumlah kosnya akan berkurangan kerana tidak semua akan diluluskan di peringkat Kabinet nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pra Pelancaran Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2023 di sini, pada Rabu.
Sementara itu mengulas berhubung pembinaan tapak velodrom, Abdul Karim berharap ia dapat dibina di dalam perkarangan Kompleks Sukan Negeri juga.
“Sehingga kini lebih kurang empat kertas kerja telah diberikan kepada saya untuk dipertimbangkan sebelum dibentangkan kepada Kabinet dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya lagi.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sherrina Hussaini, Ketua Pengarah JMM Datuk Kamarul Baharin A. Kasim dan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Nancy Jolhi. – TVS