KUCHING, 12 Julai: Kesemua pemilik kilang kelapa sawit di seluruh Malaysia diingatkan untuk mencapai 100 peratus pematuhan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 seperti yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam enam bulan pertama tempoh perlesenan yang dikeluarkan.
Mengulas mengenai perkara itu, Pengarah JAS Negeri Sarawak, John Rampai berkata, kesemua kilang kelapa sawit di negara ini dinilai secara tahunan pematuhan akta tersebut yang dibahagikan kepada dua fasa iaitu enam bulan pertama dan enam bulan berikutnya.
Menurutnya, ada antara pemilik kilang kelapa sawit gagal mematuhi 100 peratus pematuhan akta tersebut seawal enam bulan pertama tempoh perlesenan yang dikeluarkan JAS.
“Yang saya maklumkan itu (dalam ucapan perasmian), itu sebagai peringatan sebab awal-awal istilah atau polisi yang menetapkan 100 peratus ini diperkenalkan, ramai yang belum mula. Dia ingat macam biasa dahulu apabila sudah berdaftar itu sahaja.
“Tetapi sekarang tidak kerana kami akan memantau 100 peratus sampai ke habis tempoh lesen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS selepas Perasmian Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Penyerahan Lesen PYTD Kilang Kelapa Sawit 2023/2024 yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, pagi tadi.
Antara yang hadir Ketua Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Operasi) JAS Negeri Sarawak Ts Mohamad Zaihan Lek, Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Pembangunan) JAS Negeri Sarawak, Ts Mirza Zainudin dan Ketua Penolong Pengarah Institut Alam Sekitar Malaysia (EiMAS) Ts Zaidi Awang @ Mohamed.
Tambahnya lagi, kelapa sawit muncul sebagai industri terawal sekitar tahun 1970-an di mana lesennya dikeluarkan oleh JAS, justeru JAS mahu semua perlesenan yang dikeluarkan menjadi contoh kepada industri lain.
“Untuk itu JAS turut bersedia membimbing pemilik kilang termasuk mengenakan notis peringatan yang boleh membawa kepada perundangan jika ia gagal dipatuhi pemilik kilang kelapa sawit.
“Kalau tidak patuh notis dia akan dikena tindakan. Kedua, dalam notis itu jelas apa yang perlu dia (pemilik kilang) perbaiki sebab perkara itu yang akan dia laksanakan. Kita akan pantau dengan teliti, dia ada tempoh,” katanya lagi.-TVS