KUCHING, 12 JULAI: Kira-kira RM450,000 nilai kutipan berjaya diperoleh hasil serbuan Ops Dadu melibatkan lapan individu warga asing di sekitar kawasan Stutong pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuching, Ahsmon Bajah berkata penahanan oleh pasukan polis dari cawangan D7 Bahagian siasatan jenayah IPD Kuching bersama pakar judi itu melibatkan enam lelaki dan dua wanita.
Menurutnya mereka yang ditahan merupakan operator judi yang telah diupah untuk mengendalikan pusat tersebut dengan membuat panggilan kepada pelanggan sebagai salah satu cara untuk mempromosikan perjudian atas talian.
“Selain panggilan telefon kesemua operator ini juga mempromosikan judi atas talian dengan menggunakan aplikasi dan laman sosial seperti Whatsapp, Telegram, Wechat dan Facebook,” kata Ahsmon menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Ahsmon menambah, siasatan awal mendapati sindiket dipercayai telah menjalankan operasi sejak beberapa bulan lalu berdasarkan rekod dan transaksi.
“Pusat ini beroperasi secara syif untuk tempoh 24 jam, pekerja akan bekerja mengikut syif iaitu 12 jam untuk setiap syif.
“Empat orang pekerja pada waktu siang manakala empat orang pekerja lagi bertugas pada waktu malam,” ujarnya
Dalam pada itu menurut Ahsmon pihak polis turut merampas lima unit monitor komputer, lima unit pemprosesan komputer (CPU), lima buah telefon bimbit, tiga unit modem dan peralatan lain untuk mereka menjalankan kegiatan perjudian atas talian tersebut.
“Kertas siasatan telah dibuka di bawah seksyen 4(1)(g) akta rumah judi terbuka 1953 yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM25,000 serta hukuman penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun.
“Selain itu pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas serta turut disiasat di bawah seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan seksyen 15 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari bermula pada 13 hingga 26 Julai 2023 dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Pendakwa Raya Negeri Sarawak bagi mendapatkan arahan pertuduhan.