MIRI, 11 Julai: Masyarakat harus dididik untuk mengikuti peraturan dan undang-undang sedia ada bagi membentuk masyarakat berintegriti, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya.
Menurutnya, ini bagi membentuk mentaliti masyarakat yang maju selari dengan kemajuan negeri dan meningkatkan standard kehidupan.
“Integriti bermaksud seseorang yang mengikut peraturan dan undang-undang. Pastikan setiap perkara yang dibuat betul dan menepati peraturan yang sedia ada kerana kita mahu menjadi masyarakat yang maju. Apabila negeri maju, mentaliti masyarakat pun mesti maju. Selepas itu, baru standard kita boleh naik.
“Tujuan kita hendak mendidik sikap dan peranan masyarakat kita menjadi masyarakat yang maju,” katanya semasa Majlis Perasmian Jelajah Integriti Siri 9/2023 di Hotel Pullman di sini, semalam.
Katanya, Sarawak perlu mengikuti formula negara maju sekiranya mahu maju seperti mempunyai ciri integriti, tadbir urus yang baik, ketelusan, jujur dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab selain menyelesaikan masalah secara bersama melalui saluran yang betul.
“Integriti, tadbir urus yang baik dan ketelusan ini semua ciri negara maju. Kalau kita mahu maju, kita mesti melalui proses ini. Kita mahu semua jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab. Apabila berlaku kesilapan kita mesti betulkan, jangan disimpan.
“Kita belajar bagaimana menyelesaikan masalah secara bersama mengikut saluran yang sepatutnya. Kalau kita hendak melihat Sarawak maju dan hebat, kita mesti berani berubah dan ikut formula negara maju,” katanya.
Program Jelajah Integriti Siri 9/2023 merupakan anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Miri, Pejabat Daerah Miri dan Pejabat Daerah Subis bagi memupuk dan membudayakan nilai integriti selain memperkenalkan fungsi Ombudsman kepada masyarakat.
Seramai 300 orang peserta terdiri daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penjawat awam dan kaunselor dari Daerah Miri dan Daerah Subis menghadiri program itu.-TVS