KUCHING, 12 Julai: Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) perlu diintegrasi dan bukan menjadi salah satu faktor persaingan antara satu sama lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Media Group, Rizal Zulkapli menekankan ia penting kerana algoritma AI boleh menganalisis data dengan berkesan yang boleh meningkatkan kesedaran serta memupuk perubahan positif.
“Daripada bersaing, kita harus bekerjasama dan berkongsi pengetahuan kita. Sebagai manusia, kita boleh membina hubungan yang lebih kukuh dan belajar daripada satu sama lain dengan menggunakan AI untuk memupuk masyarakat yang lebih berpengetahuan.
“Di sinilah letaknya kekuatan kita. Dalam sambungan luar talian tersebut, senyuman dan jabat tangan mempunyai kuasa untuk ‘memindahkan’ gunung,” katanya semasa berucap pada Global News Forum yang bertemakan ‘AI, Leading Change and Inspiring A Greener Future’ di Kuching, pada Selasa.
Sebagai contoh katanya, dalam membuat liputan berita, penggunaan AI juga membolehkan mereka membuat keputusan berdasarkan data serta memperkasa liputan yang menyeluruh.
Rizal menegaskan pelaksanaan AI perlu dilaksanakan secara beretika dan bertanggungjawab.
“Walaupun AI menawarkan kecekapan yang luar biasa dalam memperkemas operasi, mengautomasikan tugas dan menjana kandungan, adalah penting untuk mengekalkan ketelusan dengan khalayak kita.
“Semasa kita mendalami ruang itu, kita mesti memikirkan tanggungjawab untuk memaklumkan khalayak kita apabila AI terlibat dalam pelaporan atau aliran kerja kita. Di manakah kita membuat garisan dalam hal pendedahan?
“Dengan mengakui secara terbuka penglibatan AI, kita menjunjung prinsip ketulenan dan kepercayaan yang penting dalam industri kita,” katanya lagi.
Beliau pada masa sama mengakui AI mempunyai potensi yang boleh dikembang ke tahap yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah RTM, Suhaimi Sulaiman berpandangan, meskipun canggih dan terkini, AI hanyalah sebuah mesin yang membantu untuk memudahkan urusan pekerjaan harian.
Justeru beliau berkata, kebergantungan kepada AI itu tidak harus sepenuhnya sebaliknya ia perlu dilihat sebagai satu sistem yang boleh membantu mengurangkan kerja berulang kali.
“Kita yang sepatutnya ‘mengajar’ sistem itu dan bukannya AI mengajar kita. Jadi, apa yang AI sepatutnya lakukan kepada kita adalah menyenangkan kita untuk mendapat informasi dan sebagainya.
“Itulah sebenarnya cara yang terbaik untuk mendekati AI. Jadi, kita boleh buat kerja yang berharga, yang lebih bermanfaat dan banyak menggunakan pemikiran. AI kerja untuk benda berulang pada ketika ini,” ujarnya.
Pada masa sama, Suhaimi juga mengakui kebarangkalian berlakunya ketirisan data sensitif serta maklumat apabila menggunakan teknologi berkenaan dan pengguna haruslah mengawal serta memastikan privasi itu terjamin.
“Jadi, itu adalah tanggungjawab kita dan jangan kita membeli satu sistem yang kita tak faham. Jadi, kalau kita perlukan parti ketiga yang akan memberikan penyelesaian kepada AI dan sebagainya, anda perlu memahami apa yang anda beli.
“Itulah sebabnya kita perlu mempunyai pakar untuk membantu kita menjalankan apa sahaja yang kita rancang untuk dilakukan melibatkan AI pada asasnya,” ujarnya lagi.
Beliau ditemui selepas menjadi salah seorang panel dengan topik ‘Inspiring Change – CEOs and News Directors Share Their Priorities and Targets and Discuss How They Prepare Their Teams for Change’ pada Global News Forum. – TVS