KUCHING, 11 Julai: Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain 2023 sempena sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka akan diadakan pada 21 Julai ini, kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang.
Beliau berkata majlis anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dengan kerjasama agensi lain itu bakal disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Tidak lengkap sambutan kemerdekaan Sarawak yang ke-60 tanpa majlis kesyukuran oleh komuniti pelbagai agama lain di negeri ini.
“Pada majlis itu nanti, setiap penganut agama-agama lain akan berpeluang untuk mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran Sarawak.
“Majlis tersebut akan dimulakan dengan doa pembukaan oleh Archbishop Datuk Simon Poh kemudiannya diikuti oleh agama lain iaitu agama Bahai, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh dan Tao,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya dianggarkan lebih 700 perserta yang akan mewakili pelbagai agama di Sarawak dijangka hadir pada majlis kesyukuran itu nanti.
Sementara itu, Pengarah UNIFOR Datu Jack Aman berkata, majlis serupa juga akan diadakan di setiap Bahagian mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh rumah-rumah ibadat masing-masing.
“Jadual akan dipaparkan oleh pihak Unit Protokol dan Acara Negeri (UPAN) Sarawak menerusi laman sesawang rasmi pihak berkenaan,” jelasnya.
Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain 2023 akan diadakan di Hotel Pullman pada jam 9 pagi akan turut disiarkan secara langsung menerusi TVS dan saluran Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).-TVS