KUCHING, 11 Julai: Masyarakat sepatutnya berbangga dengan adanya tiang bendera Sarawak yang menjadi ikonik di Tebingan Sungai Kuching, bukan melihatnya daripada perspektif negatif.
Mengulas mengenai video tular bendera Sarawak yang koyak di tiang bendera ikonik itu Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kewujudan tiang bendera itu seharusnya menjadi kebanggaan semua.
“Bendera yang koyak atau rosak akan dapat diganti dan tiang bendera itu termasuk material bendera yang digunakan buat masa ini masih dalam peringkat percubaan.
“Kita patut bangga dengan bendera kita serta kompleks yang dibina. Selepas 60 tahun Sarawak merdeka, saya rasa kerajaan berjaya menyediakan infrastruktur yang baik, hargailah. Infrastruktur yang dibina bukan sahaja hospital, malah jalan, jambatan dan sekolah,” katanya.
Menjelas lanjut, katanya, tiang bendera yang didirikan di kompleks berkenaan belum dirasmikan lagi dan sudah semestinya masih ada yang kurang.
“Masyarakat terlalu memandang ke arah keburukan dan adalah lebih baik untuk melihat sesuatu dari aspek yang positif,” ujarnya. – TVS