LIMBANG, 11 Julai: Tindakan seorang lelaki memecahkan skrin pengeluaran wang automatik (ATM) di dua bank di sini membawa padah apabila dicekup polis dalam tempoh kurang 24 jam pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata dua laporan polis diterima pihaknya pada Ahad lalu mengenai kes lelaki tempatan berusia 42 tahun itu
“Dengan tertangkapnya suspek, polis Limbang berjaya menyelesaikan empat kes melibatkan satu kes pecah skrin mesin ATM yang dilaporkan pada 3 Jun lepas, satu kes pecah cermin kenderaan yang dilaporkan berlaku pada 9 Julai lepas dan kes pecah skrin ATM yang dilaporkan pada Ahad lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara selama tempoh yang tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Parum menambah siasatan akan dilakukan dan pihak polis akan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwaraya sebelum tindakan menuduh suspek ke mahkamah.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada masyarakat di Limbang kerana bekerjasama menyalurkan maklumat dan membantu siasatan pihak polis. -TVS