Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengerusi Yayasan Tun Jugah, Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi Jugah pada sesi temu bual khas di pejabatnya di Wisma Tun Jugah di sini pada Isnin. Foto: TVS

Kestabilan berpolitik teras Sarawak 60 tahun kecapi merdeka

KUCHING, 11 Julai: Pemimpin Sarawak pernah berdepan fasa mencabar dalam usaha membentuk kestabilan politik bagi melaksanakan dasar pembangunan pada awal tempoh kemerdekaannya iaitu sekitar tahun 1963.

Pengerusi Yayasan Tun Jugah, Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi Jugah mendedahkan detik getir timbul ekoran banyak parti politik wujud ketika itu sehingga sukar mewujudkan kesefahaman antara satu sama lain sekali gus aspek kestabilan yang ada sering dipersoalkan.

Menurut beliau keadaan itu menyebabkan aspek pembangunan negeri amat perlahan kerana sering mendapat tentangan selain kealpaan susulan ancaman pengganas komunis.

Bagaimanapun ujar beliau keadaan itu mula berubah selepas Tun Abdul Rahman Ya’kub dan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menjadi Ketua Menteri yang berjaya membina kestabilan politik di Sarawak dengan lebih memfokuskan kepada polisi pembangunan.

“Pada masa Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (menjadi Ketua Menteri) polisi yang diamalkan oleh beliau adalah berkisar tentang politik pembangunan.

“Beliau menggambarkan secara menarik dengan mengatakan politik pembangunan adalah berdasarkan kesaksamaan dan keadilan sosial iaitu polisi tersebut tersangatlah luas,” katanya pada sesi temu bual khas di pejabatnya di Wisma Tun Jugah di sini, pada Isnin.

Beliau juga mengakui polisi yang dipraktikkan oleh Pehin Sri Abdul Taib Mahmud itu secara tidak lansung telah melonjakkan pertumbuhan sektor industri dan perladangan mula berkembang di Sarawak.

Namun begitu kata beliau pembangunan pada era itu kebanyakkannya tertumpu di kawasan bandar hingga menyaksikan penduduk di kawasan luar bandar menerima sedikit impak daripada polisi tersebut.

“Pembangunan bagi mereka (penduduk luar bandar) agak terhad dan banyak bergantung kepada Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang telah dianggap oleh penduduk di kawasan tersebut sebagai suatu projek yang besar.

“Bagaimanapun apabila kita sudah maju ke hadapan kerajaan sedar untuk mula membangunkan kawasan-kawasan luar bandar dan pendalaman ini,” katanya.

Situasi itu kata beliau turut digerakkan oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem ketika beliau menyandang jawatan Ketua Menteri berikutan menyedari terdapat ketidakadilan berlaku dalam aspek pengagihan kekayaan negara antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak kerana negeri-negeri di Semenanjung telah mendapat lebih banyak pembangunan berbanding Sabah dan Sarawak.

Justeru, Leonard menyatakan ia membuatkan Pehin Sri Adenan Satem mula lantang memperjuangkan hak-hak yang sepatutnya diberikan kepada Sarawak berdasarkan apa yang telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Usaha itu kemudiannya diteruskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan beberapa penambahbaikan baharu sekali gus membolehkan Sarawak diisytihar sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi di Malaysia oleh Bank Dunia.

Peredaran masa sepanjang 60 tahun Sarawak mengecapi kemerdekaan kata Leonard, menyaksikan pelbagai senario politik Sarawak bermula dengan Ketua Menteri pertamanya, Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan hingga kepada kepimpinan terkini, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Jelasnya, perjuangan kemerdekaan yang dipelopori oleh Sarawak berbeza dengan semangat yang ada di Semenanjung Malaysia berikutan negeri ini mendambakan kemerdekaan agar pembangunan dapat dilaksanakan dengan baik dan mampan.

Sebaliknya bagi Semenanjung Malaysia, ujar beliau perjuangan kemerdekaan itu bertitik tolak daripada usaha untuk mengusir penjajah British yang menguasai tampuk pemerintahan pada ketika itu.

“Bagi Sarawak, tujuan utama merdeka itu adalah untuk mempunyai kemajuan, keselamatan, pembangunan dan kehidupan yang lebih baik, bebas serta bermakna.

“Jika kita lihat di sekeliling kita ketika ini, kita lebih stabil dengan menyaksikan generasi muda dan lama boleh menikmati kebebasan dan kestabilan tersebut sama ada dari aspek kemajuan, kehidupan dan juga pendidikan dan ini saya fikir ia amat dihargai oleh rakyat kita,” tegas beliau. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan