SIBU, 11 Julai: Kerajaan Sarawak komited dalam memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira agama, kaum mahupun latar belakang berdasarkan keperluan pemohon.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah meminta warga Sarawak yang layak mendapatkan bantuan untuk tampil dan mengemukakan permohonan mereka.
“Antara perkara yang kita perhatikan, agak ramai masyarakat Cina yang memerlukan bantuan tidak tampil untuk mendapatkan bantuan. Ini berikutan kadang-kadang wujud salah tanggapan bahawa bantuan hanya diberikan kepada Bumiputera.
“ Jadi, kita hendak hapuskan salah faham itu,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Agnes Tiong Hui Sing yang memenangi gangsa di Sukan Olimpik Khas Dunia di Berlin Jerman yang lalu, di Hospital Sibu hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu berkata, Kerajaan Sarawak telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan insentif yang boleh dipohon oleh warga Sarawak yang berkelayakan.
“Antaranya bantuan Endowment Fund Sarawak (EFS), Bantuan Ibu Bersalin (BIB), bantuan perubatan dan sebagainya bagi meringankan beban mereka.
“Bantuan yang diberikan bukan berdasarkan kaum. Asalkan anda rakyat Sarawak, itulah dasar dan falsafah kerajaan kita bagi membantu rakyat Sarawak yang memerlukan bukan berdasarkan kaum terutamanya dalam soal kebajikan,” katanya.
Jelas Fatimah, pihaknya akan membantu Chua Hong Bing iaitu ibu kepada Agnes yang merupakan seorang ibu tunggal dan bekerja sebagai kerani di sebuah Tadika bagi membesarkan Agnes dan juga adiknya.
“Melihat kepada pendapatan bulanan Chua, dia sebenarnya layak memohon bantuan ibu tunggal, bagaimanapun ibu Agnes tersebut tidak pernah memohon bantuan berkenaan,” ujarnya.-TVS