KUCHING, 11 Julai: Dua lelaki ditemukan mati lemas akibat dihanyutkan arus air ketika mencari kepah di tepi pantai sekitar Esplanade Buntal, di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak mendedahkan mangsa pertama, Mohamad Amin Umar yang berusia 39 tahun dijumpai penduduk kampung pada jarak 400 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang pada pukul 3.30 pagi tadi.
Seterusnya mangsa kedua, Awang Khairul Aziq Awang Chula, 25, dijumpai anggota pasukan penyelamat bersama penduduk kampung pada pukul 3.42 pagi.
Menurut PGO, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.47 tengah malam, semalam.
Sejumlah tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya katanya dibantu dua Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Swart serta tiga Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Buntal, diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.Â
“Setibanya di lokasi kejadian, maklumat diterima terdapat tiga lelaki mencari kepah di pantai berkenaan dengan dua daripadanya hilang dihanyutkan arus deras manakala seorang lagi berjaya menyelamatkan diri.Â
“Operasi pencarian yang turut disertai penduduk kampung dilancarkan dalam radius 100 meter di sekitar lokasi terakhir kedua-dua mangsa dilihat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.Â
Kedua-dua mangsa ketika ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. -TVSÂ