SARIKEI, 10 Julai: Majlis Daerah Sarikei (MDS) menyambut baik cadangan naik taraf Pasar Tamu Sentral di sini, berikutan peranan pentingnya sebagai pusat tumpuan orang ramai.
Pengerusinya, Wong Zee Yeng berkata, lokasi strategik Pasar Tamu Sentral menjadikan lokasi itu popular bukan sahaja kepada penduduk Sarikei tetapi juga pengunjung luar termasuk Sibu, Bintangor, Julau dan Pakan.
Malah katanya, pelbagai barangan khususnya produk pertanian yang dipasarkan di tapak itu merupakan tarikan utama sekali gus membantu melonjakkan ekonomi penjaja kecil.
“Kita telah menerima kunjungan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Institusi Pemasaran, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan FAMA, Isa Hamzah berkaitan penilaian cadangan naik taraf pasar ini.
“Bagi saya usaha ini bakal memberikan manfaat besar kepada peniaga di tapak itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, permohonan untuk menambah baik pasar tamu itu dibuat Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii yang mengemukakan cadangan kepada MDS sebelum ini.
Susulan itu katanya, MDS memanjangkan permohonan berkenaan kepada pihak FAMA sebagai tindakan susulan.
“Kita juga mahu ruang perniagaan ditambah baik untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung. Ini amat penting kerana tempat ini selalu sesak khususnya hujung minggu,” katanya lagi.
Hadir sama, Setiausaha MDS, Sait Enggang, Pengarah FAMA Sarawak, Ramli Mat Sani, Pengarah Cawangan Kompleks Pemasaran FAMA, Muhd Nor Badlishah Ahmad Shahrin dan Jurutera Kanan, Zaidi Elias. – TVS