KUCHING, 10 Julai: Nasib orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas terus diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan dengan usaha mewujudkan latihan menerusi satu skim sosial agar dapat melahirkan lebih ramai penjaga pesakit peribadi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata di pusat-pusat seperti Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) terdapat pelbagai jenis pesakit yang memerlukan keperluan penjagaan yang berbeza.
“Saya memang menyarankan agar kita memberi latihan dan saya telah memohon kepada kerajaan supaya kita memberi perhatian untuk ini dan supaya mereka dimasukkan dalam golongan pelatih seperti mana di bawah TVET.
“Jadi dengan itu, kita dapat latih tapi bukan di bawah TVET, walaupun secara prinsipnya TVET memang meluluskan,” katanya pada sidang media Program Turun Padang beliau ke Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sri Satok dan Pertubuhan Kebajikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok di Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Juma’ani, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, beliau berharap program latihan ini dapat dilaksanakan pada tahun ini dan penjaga pesakit peribadi dapat dihantar ke tempat sewajarnya untuk dimanfaatkan sebaiknya kemahiran mereka.
“Sekurang-kurangnya sudah ada proses-proses dokumentasi yang tertentu yang boleh kita rapikan,” ujarnya. – TVS