Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini. Foto: Aziz Soleh (TVS)

Kerangka Dasar Karbon Negara dibentangkan Jumaat ini

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 10 Julai: Kerangka Dasar Karbon Negara akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) Jumaat ini, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai beberapa perkara untuk melaksanakan Dasar Karbon Negara.

Rangka Dasar Karbon Negara dibentang minggu ini

“Kita akan buat secepat mungkin. Minggu ini kita akan bentangkan dalam MyCAC seperti yang saya katakan tadi, ia akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kita butirkan dengan lebih lanjut bagaimana perjalanan kita untuk melaksanakan Dasar Karbon Negara ini secepat mungkin. Ada beberapa perkara melibatkan rundingan di peringkat antarabangsa dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, katanya, sekiranya perlu menubuhkan perundangan sebagai panduan melaksanakan dasar berkenaan selain mengawal aktiviti perdagangan karbon, ia bergantung kepada hasil mesyuarat itu kelak.

“Yang itu kita tengok daripada hasil perbincangan nanti. Yang mana perlu dibuat perundangan, yang mana sekadar di peringkat pentadbiran atau polisi,” ujarnya.

Selepas kunjungan hormat tersebut, beliau turut menyaksikan simbolik penyerahan lapan projek Rancangan Memulihkan Koridor Sungai (RMKS) daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada Kerajaan Negeri.

Pelaksanaan lapan projek tersebut menelan kos berjumlah RM63 juta melibatkan koridor-koridor sungai di Batang Kayan, Batang Balingian, Batang Sadong di Pekan Gedong dan Serian, Batang Sadong di Simunjan dan tembok penghadang Sungai Baram, Rumah Naing, Pekan Sabtu Oya dan Betong.

“Ia melibatkan kerja-kerja pengukuhan tebing-tebing sungai supaya hakisan dapat dibendung serta memastikan aliran air sungai lancar di samping perlindungan harta benda dan struktur-struktur awam di sepanjang tebing sungai berkenaan,” kata beliau.

Projek itu juga katanya, memberi nilai tambah dengan adanya kawasan riadah untuk penduduk setempat serta memanfaatkan 195,000 penduduk di sana. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan