KUCHING, 10 Julai: Setiausaha Agung Asia-Pacific Broadcasting Union (ABU) Ahmed Nadeem mengakui kewujudan teknologi kecerdasan buatan (AI) bakal mengubah landskap kewartawanan.
Ini kerana menurutnya, pelbagai perisian atau aplikasi yang disediakan AI akan membantu serta memudahkan wartawan dalam melaksanakan tugas mereka dan harus dimanfaatkan sepenuhnya.
“AI ini suatu agenda yang penting kerana terdapat banyak perkara yang boleh kita gunakan.
“ChatGPT misalnya, telah semakin popular di seluruh dunia dalam tempoh yang singkat tetapi bagaimana kita boleh menggunakan teknologi seperti ChatGPT atau teknologi AI lain untuk meningkatkan liputan berita,” katanya ketika ditemui TVS pada Asia-Pacific Broadcasting (ABU) News Group Meeting di sini, hari ini.
Dari satu sudut, beliau berkata perkembangan AI akan memberi kepuasan yang lebih kepada para penonton dan kemahiran baharu kepada wartawan.
“Itulah idea yang kita ingin ketengahkan dan sudah tentu, topik lain adalah mengenai kelestarian. Ini adalah perkara besar pasca wabak yang semua organisasi tumpukan dan kami tidak mahu ketinggalan dan penyiar organisasi media benar-benar menumpukan pada kelestarian,” katanya.
Tambahnya, media arus perdana tidak lagi menjadi rujukan utama kerana berita pada masa kini boleh diakses di hujung jari dari pelbagai saluran.
“Anda harus faham bahawa berita ada di mana-mana. Ia bukan 2008 atau 2010. Di mana-mana sahaja anda melihat, berita di hujung jari. Anda boleh mendapatkan semua yang anda mahukan melalui media sosial dan platform lain.
“Jadi, apakah kedudukan Asia Vision dalam semua ini? Itu untuk anda tentukan. Bagaimanakah kita boleh menambah baik cadangan nilai yang kita ada melalui sumbangan anda di Asia Vision?
“Bagaimanakah kita boleh memperbaikinya lagi? Bagaimanakah ia boleh menjadikannya lebih berharga kepada anda semua?,” ujarnya lagi.
Program yang diadakan dengan bertemakan ‘AI, Leading Change and Inspiring a Greener Future’ selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu itu menghimpunkan pemain industri dari serata Asia Pasifik dalam membincangkan hal-hal berkaitan dengan hal ehwal semasa.
Ia juga dihadiri Eurovision News Exchange (EBU) dan African Union of Broadcasting (AUB). – TVS