KUCHING, 10 Julai: Inovasi moden dalam pembuatan dan penghasilan songket memberi perubahan besar terhadap tekstil tersebut sehingga diselarikan dengan perkembangan gaya hidup masyarakat kini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, inovasi tersebut bagaimanapun semestinya tidak akan dapat menggantikan keaslian dan warisan yang telah di warisi sejak sekian lama.
Katanya, setiap jenis tekstil ini seperti kain songket dan keringkam telah menjadi simbol masyarakat melayu khususnya sejak abad ke-13 lagi.
“Pembuatan tekstil ini merupakan aktiviti berterusan yang diwarisi dari satu generasi ke genarasi seterusnya. Ia mencerminkan pelbagai makna dan cara hidup.
“Kalau zaman dahulu, songket dan keringkam selain mengangkat martabat si pemakai, keunikan seni tenunan dan sulaman ini juga melambangkan kedudukan seseorang itu,” katanya ketika berucapan pada Majlis Perasmian Nuansa Seni Vol. 3- Persona Nusantara di hotel Raia di sini, malam tadi.
Menurut Snowdan, pada 15 Disember 2021 lalu, tekstil songket telah di senaraikan dalam senarai List of Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pengiktirafan tersebut katanya, dapat ditafsirkan sebagai satu usaha untuk terus melindungi warisan kebudayaan negara itu di samping mengukuhkan hubungan jaringan kerjasama dengan negara luar dalam memartabatkan budaya dan warisan di peringkat global.
“Mengkaji tentang warisan adalah pencarian yang tidak berkesudahan. Semakin mendalam pencarian tentang sesuatu warisan itu, semakin penting ia kepada rakyat.
“Justeru, warisan ini perlu dipelihara oleh suku kaum itu sendiri,” katanya.-TVS