KUCHING, 9 Julai: Tiada keperluan untuk pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) turun padang membantu parti di Semenanjung Malaysia berkempen bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, isu yang berlaku di Semenanjung Malaysia berbeza dan tidak ada kaitan untuk pemimpin Sarawak terlibat.
“Saya pernah mengalami pengalaman tersebut semasa menjadi kepimpinan pemuda suatu ketika dahulu, apabila diajak untuk berkempen saya dapati kempen tersebut tidak ada kaitan dengan suasana dan isu-isu di Sarawak jadi saya rasa keadaan yang sama seperti hari ini.
“Saya secara peribadi merasakan tidak perlu untuk pemimpin GPS bersama dalam kempen-kempen yang ada di sana,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penangguhan Pesta Santubong di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak itu berkata, segala keputusan berhubung penglibatan pemimpin GPS pada PRN di enam negeri di Semenanjung Malaysia bergantung sepenuhnya kepada Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi perbincangan di peringkat parti.
Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengadakan lawatan kerja ke Sarawak baru-baru ini telah menuntut sokongan pemimpin GPS untuk membantu mereka berkempen.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRN di enam negeri akan diadakan serentak dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon.
Ia melibatkan negeri Kelantan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan.- TVS