KUCHING, 9 Julai: Sarawak menawarkan tarif elektrik terendah di rantau ini sebagai langkah memperkasakan sektor perindustrian yang kini memperlihatkan bahawa negeri ini semakin mendapat perhatian daripada pelabur luar, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, ia termasuk pelabur dari Singapura yang telah menyatakan hasrat untuk melabur dan menubuhkan Pusat Data di negeri ini.
“Kita menekankan akan kepentingan bekalan kuasa yang boleh dipercayai dan mencukupi untuk pendigitalan dan penggunaan teknologi tinggi dalam semua industri termasuk Pusat Data.
“Sarawak menawarkan kadar tarif paling menarik di rantau ini, itulah sebabnya Singapura mahu datang ke sini untuk membina Pusat Data.
“Oleh itu, sebagai balasannya, kita akan membekalkan sumber kuasa kepada Singapura,” katanya ketika menjawab soalan salah seorang peserta pada sesi dialog Sunday Morning with Premier 2.0 bersama usahawan-usahawan Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.
Sebelum ini, Abang Johari memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak tidak bercadang untuk menaikkan tarif elektrik memandangkan negeri ini mampu untuk menjana tenaga menerusi empangan hidroelektrik.
Beliau menjelaskan, langkah menaikkan tarif elektrik akan mengakibatkan aktiviti pelaburan di negeri ini terjejas.
Sementara itu, Abang Johari turut menyatakan keyakinan bahawa apabila penggunaan teknologi tinggi semakin meluas, kos pembangunan fasiliti dalam sektor-sektor berkepentingan di negeri ini secara tidak langsung akan beransur kurang sekali gus menjadikannya lebih mampu milik untuk populasi yang lebih besar.
“Kerajaan sedang giat mewujudkan kemudahan untuk menyokong semua sektor dan industri, serta menyediakan peluang latihan dan peningkatan kemahiran untuk memperkukuh modal insan di Sarawak,” ujarnya. -TVS